
Masa silam yang mengajar aku untuk menjadi seorang pemendam. Masa silam juga yang mengajar aku untuk menjadi seorang pendendam. Apa yang aku pendamkan? Segalanya. Tentang hati dan emosi. Lalu, aku dendam pada siapa? Kadang-kadang aku terasa diri aku yang mendendami sendiri. Apa yang ingin aku buktikan pada kehidupan ini? Apa yang aku inginkan sebelum aku tamatkan buku hikayat yang Ilahi takdirkan ini? Fikir dan terus berfikir. Dan dalam berfikir, aku tak pinta ia turun tapi hati ini tidak mampu menahannya. Lalu aku membiarkan.
Pada suatu-suatu masa pula, rasa simpati membatasi keegoan dalam diri. Aku korbankan segalanya dengan rela. Aku biarkan hati aku meratap dalam sepi hanya kerana ingin melihat senyuman terukir dibibir insan-insan yang aku simpati. Betulkah tindakan aku? Sejauh manakah keikhlasan aku? Kadang-kadang aku rasa satu perasaan yang tidak menyenangkan menyelubungi diri aku. Aku taknak perasaan itu tapi seringkali aku gagal mengawalnya daripada terus menguasai aku. Akhirnya, aku kecundang dalam pasrah kerana dihimpit lagi, dan sekali lagi ia turun.
Air mata ini takkan pernah berhenti. Naluri aku berkata, tangisan itu dalam diam mengajar erti kekuatan yang kita cari. Jadi aku akur bila ia pinta untuk turun walau kadang aku tahan untuk melawan sebuah perasaan. Aku cuba melukis emosi ini dalam satu gambaran kasar. Aku cuba terjemahkan kata-kata sang hati di bait-bait watak yang melintasi. Sedang aku sendiri gagal menjadi kotak pengisian untuk hati ini bercerita, mana mungkin ada insan lain yang mampu menembusinya. Pernah aku paksa, tapi akhirnya aku tewas lagi pada air mata. Hakikatnya, hanya air mata yang mampu bercerita.
0 comment (s):
Post a Comment
Comment (s)