Sep 30, 2015

Al Fatihah untuk Adikku Sayang, Noor Aqilah Binti Dolmat

28 September, Isnin
Hari ni lepas solat Asar, aku terdetik nak bukak facebook. Aku tekan button Home untuk tengok berita terbaru. Dan post pertama yang keluar pada waktu itu ialah dari seorang junior aku ketika aku di SMKIS. Ya Allah, bagaikan halilintar menerpa, aku terkejut baca post itu.


Donut, dia sedang koma di ICU sejak Sabtu lepas. Keadaannya sedang kritikal. Aku nak pergi melawat dia, tapi keadaan aku sekarang pun tak mengizinkan aku untuk bergerak. Aku terdiam di depan laptop, termenung kosong bersimpati dengan keadaan kesihatan dia. Bila aku baca komen, aku dapat tau dia suffering Tetanus.

Aku buka Twitter dia, nak follow perkembangan dia. Aku tekan ikon berbentuk bintang di profile dia supaya aku sentiasa tak lepas dapat tau keadaan terkini dia.

Aku buka Google, aku google tentang bahaya penyakit tu. Aku tanya orang yang lebih pakar. Tapi bila dapat tau keadaan badan dia dah sampai ke tahap yang bahaya, aku menangis seorang diri di dalam bilik. Aku berdoa mengharapkan dia kuat melawan sakit tu. Ya Allah, selamatkan dia.

30 September, Rabu
Entah kenapa malam ni aku tak boleh tidur. Bila terlelap, aku mimpi suasana sekolah masa kat asrama dulu. Dan perasaan yang sangat tak menyenangkan datang. Aku berguling kiri dan kanan. Lama. Entah pukul berapa aku tertidur sehingga Subuh.

Bila matahari dah mula naik, aku sekadar mengemas rumah dengan bersahaja. Lebih kurang pukul 10 lebih, tiba-tiba aku dengar notification dari Twitter. Dan bila aku swipe untuk membacanya, aku terkedu.


Menggigil tangan aku dapat tau berita yang tak disangka-sangka ini. Tak semena-mena air mata aku deras mengalir. Kenangan demi kenangan ketika bersama-sama dengan dia suatu ketika dahulu menerjah di ingatan bagaikan ribut satu demi satu. Entah berapa lama aku ambil masa untuk bertenang. Aku tak pedulikan mesej-mesej yang masuk hari ni. Antara percaya dan tidak, aku menangis semahu-mahunya. Kehilangan yang sungguh tak disangka.

Lepas solat Asar, aku bacakan Yassin untuk sedekah pada arwah. Waktu itulah baru aku boleh terima dan redha dengan pemergian dia. Aku tak banyak bercakap hari ini kerana terlalu terkejut.

Malam, aku banyak membaca balik cerita suka duka bersama dia yang sempat aku kongsi dalam blog ini dulu. Kadang-kadang aku tersenyum sendiri terkenangkan telatah dia, kadang-kadang air mata ini jatuh lagi bila teringat hakikat yang dia sudah tiada.

Sungguh aku rindu ya Tuhan. Kehilangan seorang sahabat sebaik dia sangat-sangat terkesan dalam diri ini. Semoga Allah tempatkan dia dalam kalangan orang beriman, amiin amiin ya rabbal alamiin.

0 comment (s):

Post a Comment

Comment (s)